Pihak Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi sukacita memaklumkan bahawa Permohonan Penyenaraian Firma Konsultan di Kementerian Pembangunan telahpun dibuka.
Sehubungan dengan itu, dimaklumkan kepada konsultan-konsultan alam sekitar supaya dapat memohon secara rasmi ke Kementerian Pembangunan bagi melayakkan untuk mengikuti tawaran projek-projek Kerajaan/Swasta yang terlibat dengan kerja-kerja Penilaian Kesan Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment, EIA) dan/atau Pelan Pengurusan dan Pemantauan Alam Sekitar (Environmental Management and Monitoring Plan, EMMP) bagi Aktiviti-Aktiviti Terjadual ("Prescribed Activities").
Syarat-syarat bagi konsultan-konsultan untuk disenaraikan sebagai firma konsultan di Kementerian pembangunan adalah seperti berikut:
Pemilik / Rakan Kongsi:
- Pemegang kad pintar KUNING atau MERAH;
- Bagi rakan kongsi, salah seorang Pengarah mestilah pemegang kad pintar KUNING;
- Mempunyai kelulusan ijazah dalam Sains, Teknologi atau Kejuruteraan;
- Perlu mempunyai sekurang-kurangnya TUJUH (7) tahun pengalaman dalam kerja-kerja pengurusan alam sekitar dan bergiat aktif dalam penyediaan kajian EIA sekurang-kurangnya LIMA (5) tahun.
Firma:
- Berdaftar dengan Pejabat Pendaftaran Syarikat;
- Mempunyai pejabat tetap di Brunei;
- Mempunyai pekerja yang berkebolehan untuk menyediakan kerja-kerja EIA dan EMMP bagi sesuatu projek;
- Berkeupayaan memberikan perkhidmatan profesional berterusan.
Borang Permohonan Penyenaraian Firma Konsultan serta dokumen-dokumen yang diperlukan hendaklah dihadapkan ke alamat berikut:
Sekretariat Jawatankuasa Melantik Konsultan
Divisyen Pembangunan Infrastruktur, Tingkat 2
Bangunan Kementerian Pembangunan
Bandar Seri Begawan BB3510
Negara Brunei Darussalam
Pihak Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi akan mengemaskinikan senarai konsultan-konsultan alam sekitar yang berjaya mendaftar dengan Kementerian Pembangunan dari masa ke semasa.